Pengakap erat hubungan KL dengan Jakarta

Februari 22, 2007 at 5:05 am (Nasional)

JAKARTA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi percaya langkah Persekutuan Pengakap Malaysia menubuhkan Pasukan Pengakap Kelana Kedutaan Besar Malaysia di sini dapat mengeratkan persaudaraan rumpun bangsa yang sudah lama terjalin antara rakyat kedua-dua negara.

Perdana Menteri berkata, penubuhan pasukan itu, pertama seumpamanya oleh Pengakap Malaysia di luar negara menjadi lebih bermakna kerana diadakan ketika Malaysia dan Indonesia merayakan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik.

“Pengakap Malaysia dan Gerakan Pramuka Indonesia menunjukkan sesuatu yang baik dalam membina satu lagi jambatan antara rakyat kedua-dua negara.

“Mudah-mudahan semangat dan nilai luhur pengakap yang ada dalam diri kita dapat membawa hubungan kita ke tahap lebih baik,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Persekutuan Pengakap Malaysia dan melancarkan logo pasukan itu.

Pasukan Pengakap Kelana Kedutaan Besar Malaysia dianggotai 120 orang, kebanyakannya pelajar Malaysia di republik itu. Hadir sama, Ketua Pengakap Malaysia, Datuk Seri Dr Shafie Mohd Salleh dan Duta Besar Malaysia di sini, Datuk Zainal Abidin Mohamed Zain.

Abdullah yang juga Presiden Agung Kehormat Persekutuan Pengakap Malaysia yang menyertai pasukan itu sejak zaman persekolahannya lagi dijadualkan menerima Lencana Tunas Kencana daripada Gerakan Pramuka (Pengakap Republik Indonesia) hari ini.

Perdana Menteri berkata, sejak menjadi Menteri Pelajaran, beliau percaya kegiatan kokurikulum seperti penyertaan dalam pengakap harus diberi keutamaan kerana mampu memupuk semangat setia kawan dan bertanggungjawab pada peringkat usia muda.

“Pengakap mendidik saya sampai hari ini mengenai erti persahabatan, bantu membantu, setia kawan dan tanggungjawab bersama. Kami diajar melaksanakan tanggungjawab yang diberi dengan jujur.

“Melalui pergerakan pengakap jugalah saya mula kenal dan mesra dengan rakan bukan Melayu. Saya asalnya dari kawasan Melayu dan madrasah tidak pernah mengenali rakan bukan Melayu. Dalam bidang pengakap saya menjalin persahabatan dengan mereka,” katanya.

Abdullah yang tiba di sini tengahari semalam dijadualkan menerima Bintang Republik Indonesia Adi Pradana daripada Presiden Susilo Bambang Yudhoyono pagi ini, anugerah tertinggi pernah diberikan republik ini kepada pemimpin Malaysia.

1 Komen

  1. Berthold Sinaulan said,

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: